KOMUNIKASI: Nadi Perpaduan

Posted: 04/05/2012 in Semasa, Uncategorized
Tags: ,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…

Komunikasi adalah begitu sinonim dengan kehidupan kita dan merupakan medium yang dominan dalam interaksi dan perhubungan sesama kita atau dengan pihak yang lain. Sejak dari zaman dahulu lagi, komunikasi telah dipraktikkan sebagai asas interaksi atau sebagai asas penyebaran suatu berita, cuma yang membezakannya adalah medium penyampaiannya. Mungkin pada masa dahulu sebelum berlakunya ledakan teknologi, komunikasi hanya terhad kepada interaksi langsung secara verbal antara dua pihak  dan juga melalui interaksi melalui perutusan surat yang sudah pasti memakan masa lebih lama. Berbeza dengan trend masa kini, kita disajikan dengan pelbagai kemudahan untuk berkomunikasi seiring dengan kemajuan teknologi semasa. Kita tidak perlu lagi menunggu berminggu-minggu untuk menunggu surat yang diutuskan sampai ke destinasi, atau bertemu empat mata untuk memperdengarkan khabar, namun hanya perlu ‘duduk menghadap’ monitor televisyen atau komputer, serta menerima input melalui tabloid, majalah, telefon bimbit dan sebagainya. Apapun caranya, kita masih lagi menjalankan ritual komunikasi, yang diamalkan kita sejak turun temurun.

“Sampaikanlah walau sepotong ayat…” (maksud hadis).

Perkembangan teknologi masa kini telah memudahkan manusia untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan lebih pantas, dan tidak keterlaluan jika dikatakan manusia mampu untuk menghebahkan sesuatu berita kepada seantero dunia hanya dengan sekelip mata. Kemunculan pelbagai kemudahan interaksi seperti SMS, MMS, emel, interaksi maya melalui internet, laman web, blog, televisyen satelit, majalah dan tabloid, serta bermacam-macam lagi, adalah antara kemudahan interaksi berteknologi masa kini yang telah banyak digunakan kita untuk melakukan perhubungan atau komunikasi. Apa yang tinggal menjadi persoalan adalah isi-isi ‘berita’ yang hendak disampaikan. Jika kita amati, ramai di antara kita yang menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut untuk mengekspresikan apa yang bermain didalam kotak minda masing-masing. Namun, terpulang pada setiap pihak yang menyampaikannya untuk menghidangkan sesuatu yang berfaedah atau tidak sebagai santapan umum.

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)…” (Al-Baqarah, ayat 213).

Komunikasi jika kena pada caranya boleh menjadi sebuah wahana ke arah perpaduan. Ini kerana komunikasi yang berkesan mampu untuk mengeratkan perhubungan di antara dua pihak. Jika kita imbau lipatan sejarah, komunikasi berkesan yang diaplikasikan oleh Rasulullah telah mampu menyatukan Mujahirin dan Ansar, orang Arab dan orang Ajam, malahan Yahudi turut sama dapat “tinggal sebumbung” dengan umat Islam ketika pasca pentadbiran Rasulullah. Ini membuktikan bahawa komunikasi dijadikan asas untuk menimbulkan persefahaman antara kaum, seterusnya menjadikannya teras perpaduan. Komunikasi yang diaplikasikan digunakan sebagai wadah terbaik untuk menyampaikan maklumat, arahan atau pesanan dan seterusnya menyemai keharmonian, dan sudah tentu tidak wujud pertelingkahan sekiranya setiap maklumat dapat disampaikan dengan berhemah.

“Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman…” (Hud, ayat 120).

Komunikasi juga merupakan sebuah elemen penting dalam penyampaian pelajaran dan keberkesanan proses pengajaran. Tanpa komunikasi, sesuatu ilmu itu sukar untuk disampaikan, diterima, dan diaplikasikan oleh kita. Kita sedia maklum, bahawa ilmu adalah harta paling berharga yang diwariskan kepada kita. Tanpa ilmu hidup kita umpama pokok yang tidak menghasilkan buah. Dengan ilmu juga kita dapat mewujudkan perpaduan diantara kita, seterusnya menjadikan kita masyarakat yang berilmu dan saling hormat menghormati. Komunikasi turut berperanan dalam memastikan bahawa sesuatu ilmu itu terus disampaikan dari zaman ke zaman dan tidak terhenti pada satu takuk sahaja.

“Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu…” (An-Nur, ayat 14).

Persepsi dan luahan sebuah perasaan juga turut dapat disampaikan melalui komunikasi. Sebagai contoh, ekspresi minda atau perasaan yang diterjemahkan atau disampaikan melalui penulisan untuk santapan pembaca, menyampaikan sesuatu maklumat atau luahan tentang sesuatu perkara. Kemunculan blog-blog di internet ibarat cendawan tumbuh selepas hujan mutakhir ini jelas menunjukkan pengadaptasian komunikasi dalam kehidupan zaman sekarang. Apa yang menjadi persoalannya adalah sejauh mana kebenaran maklumat yang disampaikan. Kadangkala, apa yang cuba disampaikan kita (yang kurang menepati fakta) akan menjadi aspek negatif bagi sekelompok pihak lain tanpa kita sedari, menjadikan komunikasi itu medium untuk “berperang”. Namun sebaliknya, sekiranya kita mampu untuk mecernakan sesuatu yang lebih positif maka sudah pasti komunikasi dapat kita jadikan sebuah platform untuk manjana perpaduan di kalangan kita.

“(Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya) dan mereka akan berkata: Semoga kita jauh, dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk)…” (Al-Furqaan, ayat 22).

Demikianlah betapa pentingnya komunikasi dalam membentuk perpaduan di kalangan manusia. Begitu juga halnya jika kita semua dapat melihat internet sebagai sebuah ‘platform komunikasi’ untuk kemaslahatan ummah, yang mana ianya berperanan dalam penyampaian dakwah ilmu, pembelaan bagi kebajikan serta kemaslahatan disamping menggembleng kuasa sosio-ekonomi ummah secara general melalui pelbagai saluran. Kalau setiap dari kita mampu mengikis kecanduan minda kita terhadap prasangka negatif, seterusnya cuba untuk melahirkan bibit-bibit perpaduan melalui komunikasi yang berhemah, insya Allah kita sekali lagi akan dapat bergandingan, bersatu padu dan mencipta budaya serta tamadun yang gemilang sepertimana ketika zaman kegemilangan Islam suatu masa dahulu tanpa perlu dipersoalkan status kita, siapa kita atau apa warna kulit kita. Insya Allah…

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)…”(An-Nur, ayat 11).

Comments
  1. kgbalimbang says:

    Ilmu yang baik utk di kongsi..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s