FITNAH: Journey To The Waste (Ke Arah Kehancuran)

Posted: 07/11/2010 in Semasa, Uncategorized
Tags: , ,

*artikel ini tidak ada kena-mengena atau bersangkut-paut dengan mana² ajaran atau fahaman…  budi bicara  pembaca dalam menilai dan memahami metafora disebalik artikel ini amat diperlukan dan dihargai…

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang…

”Sesungguhnya fitnah itu lebih berat dari membunuh…” (hadis Rasulullah)

Fitnah jika di definasikan membawa maksud sebuah tuduhan atau khabar atau cerita yang diada-adakan atau dibuat² untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau lain²…. Mungkin agak berat juga untuk kita membincangkan perihal bahana fitnah ini memandangkan ianya yang agak sinonim dengan ”dunia tanpa batasan” masa kini…. Saya sebenarnya terpanggil untuk menulis artikel ini setelah menghadiri satu majlis ilmu @ tazkirah pada pagi Jumaat baru² ini berkenaan bahana FITNAH yang disampaikan oleh salah seorang individu yang disegani, bukan hanya kerana kedudukannya, namun kerana kedalaman ilmu dan ketajaman fikirannya…

Fitnah, boleh kita klasifikasikan sebagai suatu wabak atau virus yang berbahaya dan ianya tidak akan pupus mengikut perubahan zaman. Malahan, jika kita amati sedalamnya, fitnah zaman sekarang (moden) jauh lebih hebat dan berat berbanding zaman² terdahulu. Ini kerana pada zaman yang serba canggih ini, setiap apa yang berlaku adalah begitu pantas sekali… Begitu juga perihalnya dengan penyebaran sesuatu berita, dengan hanya menggunakan teknologi canggih seperti SMS, MMS, email, malahan melalui internet, setiap individu mampu menyebar atau mencipta kisah tersendiri tanpa perlu bersua empat mata…

 “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan…” (Al-Hujurat, 6)

Jika kita mengimbau lipatan sejarah, kita akan menemui beberapa contoh kehancuran dek bahana fitnah ini… Kematian khalifah ke-tiga era kegemilangan pemerintahan Islam, Saidina Uthman bin Affan adalah suatu tragedi yang harus kita jadikan iktibar, berpunca dari fitnah yang ditimbulkan oleh golongan ekstrimis yang kurang menyenangi tindakan ”penjilidan penyeragaman” Al-Quran. Titik-tolak awal perpecahan Islam juga disebabkan oleh fitnah seperti yang berlaku ketika era pemerintahan Saidina Ali K.W. dan era selepasnya yang mencetuskan peperangan sesama sendiri, sehinggalah era kejatuhan empayar Bani Umaiyah… Begitu juga dengan kisah Laksamana Hang Tuah yang dihukum bunuh oleh Sultan Melaka, kerana disebabkan kedurjanaan fitnah yang disebarkan oleh sang bendahara, sehingga terlakar dalam sejarah melayu bagaimana kita kehilangan seorang panglima, Jebat yang cuba menuntut hak ke atas saudaranya Tuah dan akhirnya dibunuh oleh Tuah itu sendiri… Pelbagai lagi coretan sejarah tentang kehancuran yang disebabkan oleh bahana fitnah itu sendiri yang harus kita ambil pengajaran darinya…

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah….”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 Hukum dan dosa memfitnah adalah begitu berat sekali sehinggakan ia diibaratkan sebagai api yang membakar ranting kering,  yang membakar dengan cepat sehingga ia menjadi abu… Begitu juga perihal dosa fitnah, menghapuskan pahala² yang terdahulu sehingga tiada yang tertinggal untuk dijadikan bekalan ‘kembara’ di alam seterusnya… Namun begitupun, kita masih lagi dihidangkan dengan pelbagai cerita fitnah, yang disensasikan oleh pihak² tertentu untuk suatu tujuan yang hanya diketahui oleh mereka itu sendiri, baik dalam keluarga, organisasi, masyarakat, politik atau peringkat lebih tinggi lagi…. Harus kita fahami, fitnah itu akan merosak 3 golongan, yang memfitnah, yang mendengar fitnah, dan yang difitnah.., manakala natijah dari fitnah itu hanya satu, iaitu KEHANCURAN, sekiranya ia tidak dibendung….

Apakah yang menjadi penyebab utama kepada perbuatan fitnah itu? Tidak ramai dari kita yang mampu mencari jawapan tepat terhadap perkara subjektif ini…. Namun apa yang pasti, fitnah itu disababkan oleh MATA HATI YANG TELAH BUTA (PENYAKIT HATI), KECANDUAN MINDA TERHADAP DUNIA dan KETANDUSAN JIWA TERHADAP  SUATU YANG BERSIFAT ROHANIAH… Harus kita ingati, fitnah itu mampu menghancurkan negara bangsa, agama, bahkan sebuah empayar…. Dan apa yang menyedihkan lagi, manusia seolah² telah kehilangan sifat ”kemanusiaan” itu sendiri, telah kehilangan ikatan persaudaraan itu sehingga sanggup menghancurkan sesama sendiri, dan lebih senang melihat saudara sendiri ‘dihancurkan’….

Saya percaya setiap dari kita mampu mencari solusi terhadap bahana fitnah ini… Saya juga yakin, dengan hikmah akal yang dikurniakan Al-Khaliq kepada kita, setiap dari kita mampu untuk menilai dan memperhalusi sesuatu ‘khabar’ yang kita terima, kerana sesungguhnya fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh… Mungkin dengan bersatu-padu dan bergandingan, kita mampu untuk menolak bahana fitnah itu dari merasuk setiap rongga kita sebagai masyarakat, kerana hanya dengan penyatuan itu sahajalah kita dapat menutup ruang kelemahan, yang seterusnya menjadikan kita menjadi lebih kuat sebagai satu bangsa yang mampu menguasai ekonomi dan mencipta budaya, yang akhirnya menjadi pembela bangsa dan agama kita, insya Allah….

”Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)…”  (an-Nisa, 83)

”Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya….”                (Ali ‘Imran, 103)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s