Image

MENJADI YANG TERBAIK ADALAH MUDAH, NAMUN UNTUK MENGEKALKANNYA ADALAH TERLALU SUKAR, KERANA AGAK MUSTAHIL UNTUK MENYEMAI BIBIT KESYUKURAN DALAM JIWA SETIAP INDIVIDU YANG SERING DICANDUKAN DENGAN KEPUASAN…

…………………………………………………………………………………………………..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
 
“Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.”
 
[Al-Baqarah, 152]
 
“Wahai orang orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu hanya menyembah kepadaNya.”
 
[Al-Baqarah, 172]
 
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan mu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepada mu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”
 
[Ibrahim, 7]
 
“…Barangsiapa bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barang siapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhan ku Maha Kaya, Maha Mulia.”
 
[An-Naml, 40]
 
“Dan sungguh, telah Kami berikan hikmah kepada Lukman, iaitu ‘Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barang siapa yang tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji.”
 
[Luqman, 12]
 
“Allah tidak akan menyeksa mu jika kamu bersyukur dan beriman. Dan Allah Maha Mensyukuri, Maha Mengetahui.”
 
[An-Nisa, 147]
 
“Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan izin Tuhan dan tanah yang buruk, tanaman-tanamannya tumbuh merana. Demikianlah Kami menjelaskan berulang-ulang tanda-tanda (kebesaran Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”
 
[Al-A’raf, 58]
 
“Dan apakah dugaan orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah pada hari kiamat? Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia (yang dilimpahkan) kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.”
 
[Yunus, 60]
 
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepada mu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”
 
[Ibrahim, 7]
 
“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunan ku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”
 
[Ibrahim, 37]
 
“Dan kami jadikan padanya di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air, agar mereka dapat makan dari buahnya dan dari hasil usaha tangan mereka. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?”
 
[Yasin, 34-35]
 
“…Allah menghendaki kemudahan bagi mu dan tidak menghendaki kesukaran bagi mu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada mu agar kamu bersyukur.”
 
[Al-Baqarah, 185]
 
“…Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagi mu agar kamu bersyukur.”
 
[Al-Maidah, 6]
 
“Jika kamu kafir (ketahuilah), maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan mu dan Dia tidak meredai kekafiran hamba-hambaNya. Jika kamu bersyukur, Dia meredai kesyukuran mu itu…”
 
[Az-Zumar, 7]
 
“…Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepada mu; maka mintalah rezeki dari Allah dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya kamu akan dikembalikan.”
 
[Al-Ankabut, 17]
 
“Sungguh, bagi kaum Saba ada tanda (kebesaran Tuhan di tempat kediaman mereka), iaitu dua buah kebun disebelah kanan dan disebelah kiri (kepada mereka dikatakan), ‘Makanlah oleh mu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhan mu dan bersyukurlah kepada-Nya. (Negeri mu) adalah negeri yang baik (nyaman) sedang (Tuhan mu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.”
 
[Saba, 15]
Advertisements

Image

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…

“Bukan umatku sesiapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, tidak kasihan kepada orang yang lebih muda dan tidak menunaikan hak guru-guru…”      [Hadis riwayat Ahmad, At-Thabrani dan Al-Hakim]
“Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu dari mereka.”      [Hadis riwayat At-Thabrani]
“Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik; Orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil.”      [Hadis riwayat At-Thabrani]
………………………………………………………………………..

“GURU O GURU” (USMAN AWANG – 1979)

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat

……………………………………………………………………………………

Imam Al-Ghazali berkata;
“Tidak akan dapat ilmu kecuali dengan merendah diri dan mendengar dengan teliti…”
Imam As-Syafie berkata;
“Aku membuka lembaran kitabku di depan Imam Malik (gurunya) dengan penuh hati-hati, supaya Imam Malik tidak mendengar bunyinya…”
Syu’bah berkata;
“Aku apabila menerima satu ilmu dari seorang manusia maka aku akan menjadi hambanya seumur hidup…”
Syauqi berkata dalam syairnya;
“Tunaikan hak guru dan muliakan mereka, seorang guru seolah-olah nabi yang diutus…”

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…

Komunikasi adalah begitu sinonim dengan kehidupan kita dan merupakan medium yang dominan dalam interaksi dan perhubungan sesama kita atau dengan pihak yang lain. Sejak dari zaman dahulu lagi, komunikasi telah dipraktikkan sebagai asas interaksi atau sebagai asas penyebaran suatu berita, cuma yang membezakannya adalah medium penyampaiannya. Mungkin pada masa dahulu sebelum berlakunya ledakan teknologi, komunikasi hanya terhad kepada interaksi langsung secara verbal antara dua pihak  dan juga melalui interaksi melalui perutusan surat yang sudah pasti memakan masa lebih lama. Berbeza dengan trend masa kini, kita disajikan dengan pelbagai kemudahan untuk berkomunikasi seiring dengan kemajuan teknologi semasa. Kita tidak perlu lagi menunggu berminggu-minggu untuk menunggu surat yang diutuskan sampai ke destinasi, atau bertemu empat mata untuk memperdengarkan khabar, namun hanya perlu ‘duduk menghadap’ monitor televisyen atau komputer, serta menerima input melalui tabloid, majalah, telefon bimbit dan sebagainya. Apapun caranya, kita masih lagi menjalankan ritual komunikasi, yang diamalkan kita sejak turun temurun.

“Sampaikanlah walau sepotong ayat…” (maksud hadis).

Perkembangan teknologi masa kini telah memudahkan manusia untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan lebih pantas, dan tidak keterlaluan jika dikatakan manusia mampu untuk menghebahkan sesuatu berita kepada seantero dunia hanya dengan sekelip mata. Kemunculan pelbagai kemudahan interaksi seperti SMS, MMS, emel, interaksi maya melalui internet, laman web, blog, televisyen satelit, majalah dan tabloid, serta bermacam-macam lagi, adalah antara kemudahan interaksi berteknologi masa kini yang telah banyak digunakan kita untuk melakukan perhubungan atau komunikasi. Apa yang tinggal menjadi persoalan adalah isi-isi ‘berita’ yang hendak disampaikan. Jika kita amati, ramai di antara kita yang menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut untuk mengekspresikan apa yang bermain didalam kotak minda masing-masing. Namun, terpulang pada setiap pihak yang menyampaikannya untuk menghidangkan sesuatu yang berfaedah atau tidak sebagai santapan umum.

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)…” (Al-Baqarah, ayat 213).

Komunikasi jika kena pada caranya boleh menjadi sebuah wahana ke arah perpaduan. Ini kerana komunikasi yang berkesan mampu untuk mengeratkan perhubungan di antara dua pihak. Jika kita imbau lipatan sejarah, komunikasi berkesan yang diaplikasikan oleh Rasulullah telah mampu menyatukan Mujahirin dan Ansar, orang Arab dan orang Ajam, malahan Yahudi turut sama dapat “tinggal sebumbung” dengan umat Islam ketika pasca pentadbiran Rasulullah. Ini membuktikan bahawa komunikasi dijadikan asas untuk menimbulkan persefahaman antara kaum, seterusnya menjadikannya teras perpaduan. Komunikasi yang diaplikasikan digunakan sebagai wadah terbaik untuk menyampaikan maklumat, arahan atau pesanan dan seterusnya menyemai keharmonian, dan sudah tentu tidak wujud pertelingkahan sekiranya setiap maklumat dapat disampaikan dengan berhemah.

“Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman…” (Hud, ayat 120).

Komunikasi juga merupakan sebuah elemen penting dalam penyampaian pelajaran dan keberkesanan proses pengajaran. Tanpa komunikasi, sesuatu ilmu itu sukar untuk disampaikan, diterima, dan diaplikasikan oleh kita. Kita sedia maklum, bahawa ilmu adalah harta paling berharga yang diwariskan kepada kita. Tanpa ilmu hidup kita umpama pokok yang tidak menghasilkan buah. Dengan ilmu juga kita dapat mewujudkan perpaduan diantara kita, seterusnya menjadikan kita masyarakat yang berilmu dan saling hormat menghormati. Komunikasi turut berperanan dalam memastikan bahawa sesuatu ilmu itu terus disampaikan dari zaman ke zaman dan tidak terhenti pada satu takuk sahaja.

“Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu…” (An-Nur, ayat 14).

Persepsi dan luahan sebuah perasaan juga turut dapat disampaikan melalui komunikasi. Sebagai contoh, ekspresi minda atau perasaan yang diterjemahkan atau disampaikan melalui penulisan untuk santapan pembaca, menyampaikan sesuatu maklumat atau luahan tentang sesuatu perkara. Kemunculan blog-blog di internet ibarat cendawan tumbuh selepas hujan mutakhir ini jelas menunjukkan pengadaptasian komunikasi dalam kehidupan zaman sekarang. Apa yang menjadi persoalannya adalah sejauh mana kebenaran maklumat yang disampaikan. Kadangkala, apa yang cuba disampaikan kita (yang kurang menepati fakta) akan menjadi aspek negatif bagi sekelompok pihak lain tanpa kita sedari, menjadikan komunikasi itu medium untuk “berperang”. Namun sebaliknya, sekiranya kita mampu untuk mecernakan sesuatu yang lebih positif maka sudah pasti komunikasi dapat kita jadikan sebuah platform untuk manjana perpaduan di kalangan kita.

“(Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya) dan mereka akan berkata: Semoga kita jauh, dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk)…” (Al-Furqaan, ayat 22).

Demikianlah betapa pentingnya komunikasi dalam membentuk perpaduan di kalangan manusia. Begitu juga halnya jika kita semua dapat melihat internet sebagai sebuah ‘platform komunikasi’ untuk kemaslahatan ummah, yang mana ianya berperanan dalam penyampaian dakwah ilmu, pembelaan bagi kebajikan serta kemaslahatan disamping menggembleng kuasa sosio-ekonomi ummah secara general melalui pelbagai saluran. Kalau setiap dari kita mampu mengikis kecanduan minda kita terhadap prasangka negatif, seterusnya cuba untuk melahirkan bibit-bibit perpaduan melalui komunikasi yang berhemah, insya Allah kita sekali lagi akan dapat bergandingan, bersatu padu dan mencipta budaya serta tamadun yang gemilang sepertimana ketika zaman kegemilangan Islam suatu masa dahulu tanpa perlu dipersoalkan status kita, siapa kita atau apa warna kulit kita. Insya Allah…

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)…”(An-Nur, ayat 11).

Orang Kita
Baru isi borang keahlian parti,
Dah mendabik dada mengalahkan pak menteri…
Baru duduk kedai kopi dibelanja Waibee,
Dah mengaku yang Waibee tu sahabat sejati…
Baru semalam dapat jumpa Waibee dan bersalaman,
Dah mengaku menjadi pengikut setia selama puluhan tahunan…

Orang Kita
Baru dapat jadi wakil pemuda peringkat kawasan,
Dah mengaku seorang jagoan…
Tak boleh ditegur, semua orang nak dilawan, nak ditelan…
Dia cakap Waibeenya orang handalan,
Tapi sebenarnya seorang pondan, yang perangai busuknya mengalahkan Syaitan…

Orang Kita
Mudah alpa pada jasa yang ditabur,
Cepat longlai pada jambangan yang dihambur…
Selalu lupa pada siapa yang pernah berjasa,
Terus dipuja pada siapa yang memberikan “gula²”…
Hatinya keras bagaikan batu,
Tapi cair bila dikipaskan….

Orang Kita…
Suka menegur,
Tak suka ditegur…
Bila ditegur, putuslah persaudaraan…
Suka mencantas dan suka berada di atas…
Bila orang lain di atas,
Dikatanya orang itu pengkhianat dan main culas…
Tapi dia lupa yang dia tak pernah puas…
Habis hak orang lain semua dia nak libas…
Bini pengikut sendiri pun kalau boleh dia nak kebas…

Itulah kebanyakan hakikatnya orang kita, yang mata mereka mula kabur, dan hati mereka mula bertambah takbur…

Siapa orang kita yang makan cili?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani….

” Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang² yang lalai…”   (Al-A’raaf, 179)

”Rupanya gajah itu cuma seakan ular, cuma kulitnya sedikit kasar dan berkedut” kata si buta yang memegang belalai gajah…

”Aku kurang setuju… Gajah itu tidak ubah seperti sebatang pokok pinang” jawab si buta yang memegang kaki gajah…

”Kalau kamu berdua nak tahu, gajah itu seperti tembok, luas dan teguh” bentak si buta yang menyentuh bahagian badan gajah…

”Kau juga silap sahabatku… Gajah itu bukanlah binatang hebat… Ianya cuma seekor binatang yang sebesar tali pengikat kerbau” kata seorang lagi si buta yang meraba bahagian ekor gajah…

”Nampaknya kamu semua sudah salah… Aku seorang sahaja yang betul dan tahu tentang sang gajah… Gajah itu sebenarnya binatang yang menyerupai kipas besar, dan boleh kita gunakan untuk berteduh” ujar si buta yang memegang dan menyentuh telinga sang gajah…

Ramai di antara kita yang boleh menerangkan secara terperinci dan tepat perihal seekor gajah tanpa perlu berdebat kerana sudah sedia maklum sifat² dan ciri² seekor gajah secara general… Namun perkara seumpama ini berlaku sebaliknya sekiranya ditanya kepada mereka yang tidak pernah melihat atau tidak pernah tahu apa itu gajah… Maka situasi seperti dialog di atas mungkin benar² akan terjadi…

Jika kita selami analogi Si Buta & Sang Gajah ini, kita dapat melihat bagaimana masing² cuba membahaskan dan meyakinkan yang lain bahawa merekalah yang betul menurut perspektif mereka sahaja… Hal ini turut berlaku dalam kehidupan seharian kita, bermula dari topik agama, politik malah sehingga aspek kehidupan yang lainnya, masing² cuba menyampaikan bahawa apa yang dikatakan adalah benar dan sahih… Namun jika dilihat dari sudut yang berbeza, kita cuma diumpamakan seperti katak di bawah tempurung

Sesuatu perkara itu semoleknya kita lihat dari pelbagai perspektif, melihat sesuatu dengan pandangan dan pemahaman yang luas dan dari pelbagai sudut… Pertelingkahan dan percanggahan pendapat lazimnya berlaku bila melihat sesuatu subjek itu hanya dari satu sudut yang sempit, mengambil sedikit serpihan dari aspek yang luas tentang sesuatu perkara itu, sebagaimana yang berlaku kepada si buta dalam anologi di atas… Pelbagai persepsi, pandangan dan pemahaman yang berbeza terhasil kerana datang dari penilaian yang berbeza, mengambil-kira perihal suatu subjek itu dengan pemahaman melalui skop yang kecil, tanpa ada perbincanga yang wajar diwujudkan…

Mungkin ramai antara kita juga yang tidak pernah terfikir mengapa suatu masa dahulu ”Benggali Putih” yang menjajah tanah kita mengamalkan sistem ‘PECAH DAN PERINTAH’… Secara ringkasnya, sistem itu bertujuan untuk mengelak penyatupaduan wujud di antara kita… Bila kita terpisah dari kelompok yang lain, sukar untuk kita membuat kata sepakat mengenai sesuatu perkara, atau membuat penilaian terhadap sesuatu aspek kerana kita hanya TERKONGKONG di dalam kelompok kita…. Kita hanya melihat sesuatu perkara itu cuma menerusi pandangan mata kelompok kita… Dan akhirnya, tiada kesefahaman yang dapat diwujudkan dalam sesuatu perkara… Ini cuma merupakan sebahagian kecil dari justifikasi terhadap sistem ‘PECAH DAN PERINTAH’ tersebut… Begitu juga halnya dengan artikel ini, tidak semua yang akan setuju 100% dengan apa yang ditulis, kerana masing² mempunyai persepsi yang berbeza…

Apa yang pasti, jika sekiranya setiap dari kita mampu melihat sesuatu perkara atau subjek itu melalui sudut pandangan yang luas atau melihatnya melalui pelbagai perspektif, persepsi negatif individu dapat kita kikis sedikit demi sedikit… Kalau sekiranya si buta dan rakan²nya mampu untuk mewujudkan perbincangan mengenai perihal sang gajah, mungkin mereka sepakat dapat membayangkan rupa bentuk sebenar sang gajah, walaupun ianya tidaklah semudah yang disangka… Namun tiada apa yang mustahil… Begitu juga dengan kita yang memiliki sifat sempurna ini, kalau sekiranya kita mampu bermusyawwarah, bergandingan dan bersatu-padu dalam apa juga hal tanpa mengira warna kulit dan STATUS masing², kita mungkin dapat bangun dan menjadi ummah yang perkasa, yang mampu menguasai ekonomi dan mencipta budaya, seterusnya menjadi pembela agama dan bangsa… Kita tidak akan mampu membangun dengan hanya bersandarkan pada teori dan kebanggaan terhadap kegemilangan sejarah yang sudah, namun ianya memerlukan tindakan dari kita, insya Allah…

”(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui)… (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya..?”        (Yaasin, 66)

 ”Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim…”   (Al-Hujurat, 11)

”Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab neraka…”    (Saad, 27)

*artikel ini tidak ada kena-mengena atau bersangkut-paut dengan mana² ajaran atau fahaman…  budi bicara  pembaca dalam menilai dan memahami metafora disebalik artikel ini amat diperlukan dan dihargai…

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang…

”Sesungguhnya fitnah itu lebih berat dari membunuh…” (hadis Rasulullah)

Fitnah jika di definasikan membawa maksud sebuah tuduhan atau khabar atau cerita yang diada-adakan atau dibuat² untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau lain²…. Mungkin agak berat juga untuk kita membincangkan perihal bahana fitnah ini memandangkan ianya yang agak sinonim dengan ”dunia tanpa batasan” masa kini…. Saya sebenarnya terpanggil untuk menulis artikel ini setelah menghadiri satu majlis ilmu @ tazkirah pada pagi Jumaat baru² ini berkenaan bahana FITNAH yang disampaikan oleh salah seorang individu yang disegani, bukan hanya kerana kedudukannya, namun kerana kedalaman ilmu dan ketajaman fikirannya…

Fitnah, boleh kita klasifikasikan sebagai suatu wabak atau virus yang berbahaya dan ianya tidak akan pupus mengikut perubahan zaman. Malahan, jika kita amati sedalamnya, fitnah zaman sekarang (moden) jauh lebih hebat dan berat berbanding zaman² terdahulu. Ini kerana pada zaman yang serba canggih ini, setiap apa yang berlaku adalah begitu pantas sekali… Begitu juga perihalnya dengan penyebaran sesuatu berita, dengan hanya menggunakan teknologi canggih seperti SMS, MMS, email, malahan melalui internet, setiap individu mampu menyebar atau mencipta kisah tersendiri tanpa perlu bersua empat mata…

 “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan…” (Al-Hujurat, 6)

Jika kita mengimbau lipatan sejarah, kita akan menemui beberapa contoh kehancuran dek bahana fitnah ini… Kematian khalifah ke-tiga era kegemilangan pemerintahan Islam, Saidina Uthman bin Affan adalah suatu tragedi yang harus kita jadikan iktibar, berpunca dari fitnah yang ditimbulkan oleh golongan ekstrimis yang kurang menyenangi tindakan ”penjilidan penyeragaman” Al-Quran. Titik-tolak awal perpecahan Islam juga disebabkan oleh fitnah seperti yang berlaku ketika era pemerintahan Saidina Ali K.W. dan era selepasnya yang mencetuskan peperangan sesama sendiri, sehinggalah era kejatuhan empayar Bani Umaiyah… Begitu juga dengan kisah Laksamana Hang Tuah yang dihukum bunuh oleh Sultan Melaka, kerana disebabkan kedurjanaan fitnah yang disebarkan oleh sang bendahara, sehingga terlakar dalam sejarah melayu bagaimana kita kehilangan seorang panglima, Jebat yang cuba menuntut hak ke atas saudaranya Tuah dan akhirnya dibunuh oleh Tuah itu sendiri… Pelbagai lagi coretan sejarah tentang kehancuran yang disebabkan oleh bahana fitnah itu sendiri yang harus kita ambil pengajaran darinya…

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah….”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 Hukum dan dosa memfitnah adalah begitu berat sekali sehinggakan ia diibaratkan sebagai api yang membakar ranting kering,  yang membakar dengan cepat sehingga ia menjadi abu… Begitu juga perihal dosa fitnah, menghapuskan pahala² yang terdahulu sehingga tiada yang tertinggal untuk dijadikan bekalan ‘kembara’ di alam seterusnya… Namun begitupun, kita masih lagi dihidangkan dengan pelbagai cerita fitnah, yang disensasikan oleh pihak² tertentu untuk suatu tujuan yang hanya diketahui oleh mereka itu sendiri, baik dalam keluarga, organisasi, masyarakat, politik atau peringkat lebih tinggi lagi…. Harus kita fahami, fitnah itu akan merosak 3 golongan, yang memfitnah, yang mendengar fitnah, dan yang difitnah.., manakala natijah dari fitnah itu hanya satu, iaitu KEHANCURAN, sekiranya ia tidak dibendung….

Apakah yang menjadi penyebab utama kepada perbuatan fitnah itu? Tidak ramai dari kita yang mampu mencari jawapan tepat terhadap perkara subjektif ini…. Namun apa yang pasti, fitnah itu disababkan oleh MATA HATI YANG TELAH BUTA (PENYAKIT HATI), KECANDUAN MINDA TERHADAP DUNIA dan KETANDUSAN JIWA TERHADAP  SUATU YANG BERSIFAT ROHANIAH… Harus kita ingati, fitnah itu mampu menghancurkan negara bangsa, agama, bahkan sebuah empayar…. Dan apa yang menyedihkan lagi, manusia seolah² telah kehilangan sifat ”kemanusiaan” itu sendiri, telah kehilangan ikatan persaudaraan itu sehingga sanggup menghancurkan sesama sendiri, dan lebih senang melihat saudara sendiri ‘dihancurkan’….

Saya percaya setiap dari kita mampu mencari solusi terhadap bahana fitnah ini… Saya juga yakin, dengan hikmah akal yang dikurniakan Al-Khaliq kepada kita, setiap dari kita mampu untuk menilai dan memperhalusi sesuatu ‘khabar’ yang kita terima, kerana sesungguhnya fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh… Mungkin dengan bersatu-padu dan bergandingan, kita mampu untuk menolak bahana fitnah itu dari merasuk setiap rongga kita sebagai masyarakat, kerana hanya dengan penyatuan itu sahajalah kita dapat menutup ruang kelemahan, yang seterusnya menjadikan kita menjadi lebih kuat sebagai satu bangsa yang mampu menguasai ekonomi dan mencipta budaya, yang akhirnya menjadi pembela bangsa dan agama kita, insya Allah….

”Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)…”  (an-Nisa, 83)

”Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya….”                (Ali ‘Imran, 103)

DOA BUAT AYAH…

Posted: 20/06/2010 in Semasa, Uncategorized
Tags: ,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…

Ya Allah ya Tuhan ku…
Aku menghulurkan kedua tanganku yang hina ini
Memohon Engkau limpahkan rahmat dan hidayahMu kepadaku
Terasa terlalu lemah diri ini tanpa pertolonganMu ya Allah…
Ya Allah…
Segala pujian bagiMu
Tuhan Sekelian Alam
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Ya Allah, Ya Rahim, Ya Karim…
Jadikanlah aku hambaMu dan umat Muhammad SAW yang beriman kepadaMu
Dan berbakti kepada kedua ibubapaku
Ya Khaliq…. ampunkanlah dosa kedua ibubapaku
Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku kecil
Bukakanlah pintu hati mereka untuk beriman kepadaMu
Aku terlalu banyak terhutang budi kepada mereka ya Allah
Terlalu banyak budi mereka yang ku balas dengan menyakiti hati mereka
Kasih sayang mereka kubalas dengan kata-kata menentang
Sedangkan ku tahu,
Engkau melarang menyebut walaupun perkataan “ah” kepada mereka…
Didikan dan asuhan mereka aku ambil ringan
Aku lupa ya Allah, berkat usaha, asuhan dan didikan merekalah
Aku kini menjadi seorang ‘’INSAN’’
Keselesaan sanggup dilupakan ketika mengandungkan aku
Kesakitan yang amat sangat sanggup dilalui ketika melahirkan aku
Tidur malam mereka aku ganggu
Titik peluh mereka basah kering demi membesarkan aku
Tidak pernah mereka mengadu letih
Tidak pernah mereka mengadu sakit
Lauk yang dimulut sanggup mereka luah untuk diberikan kepadaku
Harta yang dikumpul sanggup dilepaskan untuk pendidikanku
Namun selama ini aku lupa semua itu ya Allah
Kerana mereka tidak pernah merungut kepadaku ya Allah
Kerana mereka tidak pernah mengadu kepadaku ya Allah
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim…
Ketika ini aku terkenang semua itu
Dikala ini aku mengadu kepadaMu ya Allah
Dan kini aku memohon sepenuh hati kepadaMu ya Allah
Rahmatilah mereka, ampunilah dosa-dosa mereka,
Aku memohon agar jangan Engkau siksa ibubapaku ya Allah
Aku tahu ya Allah…
Mereka terlalu lemah dan tidak mungkin dapat menahan siksaanMu
Yang amat pedih itu ya Allah
Perkenankanlah doa ku ini dan jadikanlah ini doa anak yang soleh
Yang Engkau janjikan akan diperkenankan ya Allah ya Tuhanku
Maha Suci Allah Yang Maha Besar
Engkau jadikanlah anak-anak ku dari orang-orang yang soleh
Yang mendoakan keampunanku daripadaMu ya Allah
Jadikanlah mereka sebagai anak kunci pintu syurga ku ya Allah
Dan jangan Engkau jadikan mereka anak kunci ku ke nerakaMu
Teguhkanlah iman mereka ya Allah
Jauhilah mereka dari siksaMu ya Allah
Tuhan Sekelian Alam…
Amin…