BANGSAKU: Satu enigma

BANGSAKU….

 

BANGSAKU itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

BANGSAKU itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

BANGSAKU luas pengertiannya:
Melayu itu BANGSAKU, Bajau itu BANGSAKU,
Cina juga disebut BANGSAKU,
Kadazan-Dusun memang BANGSAKU,
Keturunan Arab adalah BANGSAKU,
Cocos dan Idahan juga BANGSAKU,
Jawa dan Bugis, semua BANGSAKU,
Mamak dan Pakistani serap ke BANGSAKU,
Malah mua’alaf juga bertakrif BANGSAKU

Dalam sejarahnya
BANGSAKU itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Yang tinggal hanyalah kisah si Tanggang

BANGSAKU itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya BANGSAKU itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
BANGSAKU itu masih bermimpi

Watak BANGSAKU menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berkelahi cara BANGSAKU
Menikam dari belakang
Mengherdik dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Berdamai cara BANGSAKU indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati BANGSAKU itu tak terbandingkan
Sungguh pemurah dan mudah kasihan
Segala yang ada sanggup diberikan
Orang Seberang diberikan makan
Tak cukup harta, tanah digadaikan
Biarlah anak cucu merempat ditepi jalan
Asal Orang Seberang mendapat kasihan dan perlindungan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Sebenarnya BANGSAKU itu bangsa digeruni
Apatah lagi jika bersatu hati
Sehingga British yang melawat takut dibuli
“Pecah dan Perintah” kata Tuan Benggali Putih
Namun hakikat Bangsaku terlalu suka dimanjakan
Mudah terlena bila didodoikan
Manjadi alpa hanya dengan gula²
Jiwa yg membara cair bila dikipaskan
Suka menegur, tak suka ditegur
Pantang ditegur, kawan disisihkan
Baju dibadan dijadikan ukuran
Tak cukup kain sendiri, kain orang diperhatikan

Bagaimanakah BANGSAKU abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada kesaksamaan

Serulah kepada seluruh anak BANGSAKU
Bersatu kita teguh bercerai kita roboh
Jangan terlalu manja dan selesa dalam merdeka
Entah esok entahkan lusa kita dijajah semula
Jangan digadai pusaka bangsa
Jangan nanti BANGSAKU menjadi pelarian dibumi sendiri

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

*karya ini telah saya sunting semula dari PUISI “MELAYU” (karya asal) oleh USMAN AWANG

JIWA INSAN : Tersungkur di Pintu Syurga…

Jiwa insan itu adalah suatu yang unik untuk dieksploitasi dan diterjemah… Ia adalah suatu idium yang manjadikan kita khalifah utusan Al-Khaliq dimuka bumi, menjadi persoalan para malaikat tatkala Dia mencipta Adam, sehinggakan Iblis yang begitu tinggi kedudukannya pada satu ketika lantas menderhakai Allah, juga bersumpah akan terus tidak mengalah untuk menyesatkan anak Adam dalam misinya mencari teman sebagai Finnari Jahannam
Permainan digelanggang duniawi ini begitu mengasyikkan dan penuh dengan tipu helah, yang kuat serta berakal akan terus bertahan bermain, yang lemah dan lurus seringkali kecundang… Setiap “peraturan” dan gerak-geri dalam gelanggang duniawi ini adalah satu subjek yang menggambarkan perihal kita dalam erti kata kehidupan persinggahan ini…
Adakalanya kita terlalu asyik membahaskan suatu subjek, sebolehnya mempertahankan apa yg lahir dari kotak minda kita yang sempit, walaupun tanpa penilaian mendalam, sehinggakan seringkali tanpa kita sedari lidah bertindak melebihi rasional akal, menjadikan kita semakin hampir dengan taksub terhadap sesuatu yg bersifat subjektif…
Keegoan kita untuk terus mahu berdiri di rerambut halus menjadikan kita semakin jauh dari norma² tertib insan… Ilmu dan Kefahaman semakin terselindung dibayangi “Firdaus” maya ciptaan jahil orang² berakal… Minda entah kemana etika pegangannya, goyah dan melentuk mengikut kata angin… Mata Hati semakin kabur menurut kehendak Sang Nafsu yang tidak pernah puas…
Jalan yang sepatutnya lurus menjadi terpesong dek kekuatan arus zaman… Kita yang pada mulanya bernawaitukan kebenaran demi kesejahteraan Islam dan anak bangsa, telah menjaja perjuangan sendiri secara tersirat, melalui jalan yang sama dilalui Sang Petualang….
Kita tanpa menyedari, telah melalui jalan berbeza dalam memperjuangkan kebenaran dan  mencari keredhaan, langsung mengimpikan Jannahtul Firdaus… Seakan kita tidak punya pegangan atau pedoman… Kita yang mengharapkan kemuliaan akhirnya TERSUNGKUR DI PINTU SYURGA….
Kita hanyalah insan yang rugi menuruti rentak sandiwara POLITIK DUNIA mereka… Kalau kiranya kita mampu untuk bersatu membina ummah, berteraskan pegangan Ad-Dien dalam perjuangan kebenaran kita dan membela anak bangsa kita menjadi ummah gemilang, masyarakat Madani akan kita lahirkan semula dalam kemelut fitnah dunia masakini…

Rasulullah s.a.w bersabda: Sepeninggalanku nanti akan muncul pemimpin-pemimpin yang kamu tidak sukai. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah yang anda akan perintahkan sekiranya perkara itu terjadi kepada kami? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Penuhilah kewajipan yang telah diberikan kepada kamu dan pohonlah hak kamu kepada Allah… (hadis riwayat Abdullah bin Mas’ud)

DALAMILAH ILMU ALLAH… BERPEGANG TEGUHLAH PADA KALAMULLAH…. FAHAMILAH PANDUAN AS-SUNNAH…

POLITIK & KEPIMPINAN: Muhammad bin Abdullah (Rasulullah S.A.W)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih…

Tulisan yang saya hasilkan pada kali ini adalah dengan merujuk dan menyunting kepada beberapa penulisan serta sumber yang saya yakini kesohehannya; (The First Written Constitution in the World, Sh. Muhammad Ashraf, Lahore, 1968; Piagam Madinah [terjemahan Kassim Ahmad])

Hadis Ibnu Umar r.a:

Nabi s.a.w telah bersabda: Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin…

Masyarakat kita sekarang khususnya di Malaysia sedang mengalami satu reformasi tentang corak kemasyarakatan dan doktrin politik, iaitu suatu ideologi yang cuba diserapkan oleh pucuk pimpinan kita terhadap konsep penyatuan bangsa, mewujudkan satu identiti masyarakat ’satu bangsa’, dimana setiap suku dan etnik akan disatukan melalui perpaduan… Syabas dan moga konsep ini akan berjaya diadaptasi setiap dari kita… Namun jika kita singkap sejarah, konsep penyatuan bangsa ini telah lama wujud dan diaplikasikan, dan perintis kepada konsep ini adalah Rasulullah, manusia pertama yang berjaya menganjurkan dan mengguna-pakai konsep penyatuan bangsa ini… Dan pemerintahan terbilang ini telah berjaya melahirkan kegemilangan Tamadun Islam yang tiada tandingan, yang dipimpin oleh Rasulullah itu sendiri serta Khulafa’ Ar-Rasyidin setelah baginda wafat, berpandukan PIAGAM MADINAH yang berteraskan wahyu Allah…

Piagam Madinah ini telah dihasilkan oleh seorang yang buta huruf (Rasulullah), namun dengan hikmah akal yg berpandukan wahyu telah menjadikan Piagam Madinah ini suatu bentuk PERLEMBAGAAN yang cukup mantap, merangkumi aspek politik, agama, ekonomi serta kemasyarakatan… Sehinggakan ramai sejarahwan, pengkaji politik serta sarjana Barat mengakui kehebatan perlembagaan yang dianjurkan Rasulullah, sehingga ia dianggap sebagai Perlembagaan Bertulis yang pertama didunia..

Piagam Madinah, ditulis dan diwartakan oleh Nabi Muhammad untuk warga negara-kota Madinah yang seramai 10 000 orang dan berbilang agama pada tahun 622M, merupakan sebuah “dokumen”  politik-perlembagaan yang cukup mengagumkan… Piagam Madinah adalah yang pertama seumpamanya; sehingga Barat menganggap ianya sebuah dokumen maha penting pada peradaban duniaperlembagaan negara bertulis yang tertua dan masih digunakan hingga ke kini…

Kepentingan Piagam Madinah bukan sahaja kerana ia adalah perlembagaan bertulis yang pertama;  ia juga moden, dalam ertikata ia diwartakan untuk sebuah masyarakat majmuk, memberikan hak kesamarataan kepada setiap warganegara, dan memberikan mereka hak untuk bersuara dalam urusan² pemerintahan & pentadbiran, sebagaimana yang akan kita lihat nanti…

Dengan mengambil kira semua ini, adalah menghairankan bilamana pemimpin² dan pengamal² politik yang bercakap dan menulis tentang konsep Madani, namun jarang sekali merujuk kepada dokumen atau asas anjuran baginda Rasulullah, yang mengandungi bibit² politik (yang berteraskan Islam) ini… Piagam Madinah ini tidak muktamad dalam ertikata ia tidak mengandungi kesemua arahan untuk mengurus sesebuah negara sebagaimana yang terkandung di dalam Quran.. Yathrib, yang kemudiannya dikenali sebagai “Kota Nabi”, atau ringkasnya Madinah, segalanya bermula dengan peristiwa hijrah.. Perlu diingatkan bahawa Rasulullah, setelah diangkat menjadi nabi, menyebarkan wahyu-wahyu Tuhan kepada penduduk Mekah selama dua belas tahun sebelum beliau dan para pengikutnya berhijrah ke Yathrib (Madinah), 210 batu ke utara Mekah.. Misi kenabiannya terus berlanjutan selama sepuluh tahun sehinggalah beliau berjaya menyampaikan keseluruhan risalah suci kepada orang-orang Arab dan juga seluruh manusia sebagai kitab Tuhan yang terakhir, iaitu Quran, satu²nya mukjizat yang dianugerahkan kepada umat manusia selain Nabi.

Keseluruhan teks dalam Piagam Madinah telah dihasilkan semula (re-publish), perkataan demi perkataan, oleh Ibnu Ishaq dan Abu Ubaid dalam buku mereka masing-masing, daripada dokumen @ salinan asal yang disimpan dan dijaga oleh Ibnu Abi Khithamah…. Piagam ini terdiri daripada 47 fasal, iaitu; Fasal 1, 2 dan 39 menyatakan tentang pembentukan sebuah negara-bangsa yang berdaulat dengan satu kewarganegaraan, mewujudkan integrasi antara kaum yang terdiri daripada pelbagai komuniti, puak, golongan dan agama (Muslim – Muahjirin & Ansar, Yahudi srta golongan ortodok / pagan)… Mereka lalu berjaya membentuk satu kerakyatan (ummah), mempunyai hak dan tanggungjawab yang samarata, dan berbeza daripada rakyat negara lain…. Jika kita lihat dengan mendalam, ketiga-tiga fasal inilah yang telah melahirkan negara-bangsa moden yang pertama di dunia, iaitu “Masyarakat Madani”… Ironinya, walaupun Madinah hanyalah sebuah kota, Piagam yang hasilkan Rasulullah ini dapat bertahan dalam tempoh yang agak lama sehinggalah bermulanya Dinasti Umayyah pada tahun 1661…

Piagam Madinah mengemukakan sebuah struktur (pentadbiran) persekutuan dengan kuasa berpusat, yang terdiri daripada pelbagai kabilah (suku atau etnik) di pelbagai daerah yang membentuk unit² serta memiliki kuasa autonomi (masing²) dalam urusan² tertentu berkaitan sosial, ekonomi, kebudayaan, dan keputusan keagamaan. Pemberian kuasa autonomi daerah ini diulangi untuk setiap daerah yang terdapat di Madinah… Sebenarnya, banyak perkara yang diuruskan oleh unit² autonomi ini yang merangkumi sosio-budaya (kecuali perkara yang melibatkan keselamatan dan pertahanan negara) namun sekiranya kes² pertikaian tidak dapat diselesaikan oleh unit² ini, maka barulah keputusan perbicaraan dirujuk kepada Nabi, yang memiliki keputusan muktamad

Hadis Abu Hurairah r.a:

Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang imam (pemimpin) itu merupakan pelindung. Dia bersama pengikutnya memerangi orang kafir dan orang zalim serta memberi perlindungan kepada orang-orang Islam. Sekiranya dia menyuruh supaya bertakwa kepada Allah dan berlaku adil maka dia akan mendapat pahala, akan tetapi sekiranya dia menyuruh selain dari yang demikian itu, pasti dia akan menerima akibatnya…

Perlembagaan yang dianjurkan Rasulullah ini telah membawa bersama-sama dengannya perubahan dan kemajuan yang sangat penting serta efesien, dan dalam konteks Tanah Arab khususnya, sekurang-kurangnya ianya sangat revolusioner, dengan menyediakan institusi awam untuk memberikan keadilan kepada rakyat, supaya setiap orang tidak bersendirian dalam mendapatkan keadilan, atau paling baik pun, mendapatkan keadilan dengan sokongan ahli keluarganya… Inovasi yang signifikan ini sama sekali telah menamatkan ketegangan dan kekacauan antara kabilah (isu perkauman), dan telah menelurkan asas bagi penyatuan ummah, seterusnya melahirkan  sebuah institusi yang lebih luas, yakni sebuah Negara

Harus difahami bahawa kesetiaan masyarakat majmuk ini kepada Negara yang terhasil dari perlembagaan anjuran Rasul, telah berjaya membentuk nasionalisme, atau lebih tepat lagi patriotisme, yang diakui oleh Islam, berbeza dengan dakwaan sebilangan pendukung ideologi bangsa serta pengamal politik… Ini selari dengan maksud ayat Quran:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan yang sama dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu…” (al-Hujurat)

Seterusnya, ketika permulaan pasca pentadbiran negara-bangsa (Islam) yang dibawa Nabi, Kota Madinah pada ketika itu mempunyai populasi penduduk sekitar 10 000 orang. Daripada jumlah ini, beberapa ratus orang sahaja yang Muslim; separuh daripadanya adalah orang-orang Yahudi yang (tidak) mengesakan Tuhan, dan selebihnya adalah golongan dengan kepercayaan ortodok.. Menarik untuk diperhatikan bahawa Piagam Madinah menetapkan persamaan hak ahli-ahlinya dan melindungi mereka daripada penindasan… Madinah (Rasulullah) mengisytiharkan persaudaraan sesama orang-orang beriman dan memberikan hak dan sokongan kepada setiap orang untuk melindungi mana-mana individu yang bukan musuh… Ia juga menetapkan supaya pertolongan diberikan kepada ahli-ahlinya yang menanggung hutang atau menghadapi masalah² kewangan melibatkan wang tebusan atau hutang darah, namun menegah pertolongan atau perlindungan terhadap seseorang pembunuh

Hak kemanusiaan yang amat penting turut diberikan di mana komuniti² masyarakat dijamin kebebasan mereka untuk mengamalkan agama masing²… Apa yang kita dapat lihit disini, Rasulullah turut berdiplomasi dimana  setiap individu juga bebas untuk memilih atau kekal dalam agamanya (selain keluar dari Islam), selari dengan ajaran-ajaran Quran yang jelas, iaitu tiada paksaan dalam Islam…. Satu lagi prinsip pengendalian urusan negara yang penting yang diaplikasikan Rasulullah ialah MUSYAWARAH dengan rakyat dalam semua urusan, tidak seperti dalam organisasi politik demokrasi moden, suara rakyat, vox populi, diberikan nilai yang paling tinggi, tidak kira samada ia suara yang hak dan benar atau tidak…. Inilah kesilapan asas demokrasi pasca moden (anjuran Barat) yang menjadi asas pentadbiran kebanyakan negara dunia…

Sebagaimana yang telah saya nyatakan di atas, perlembagaan ini merupakan ijtihad Rasulullah dalam memformulasi PENTADBIRAN apabila beliau berhadapan dengan cabaran mentadbir negara-kota Madinah yang terdiri dari pelbagai kabilah serta suku, sedangkan pada waktu tersebut Baginda belum lagi menerima Quran yang lengkap (wahyu belum turun sepenuhnya)… Oleh yang demikian, Baginda perlu mengambil kira adat resam dan praktik-praktik yang telah diamalkan secara turun-temurun, dan Baginda berjaya melakukannya…. Rasulullah turut berhadapan dengan semangat assibiyah atau perkauman, namun dengan hikmah akal berlandaskan wahyu Kalamullah, Baginda mampu menyatukan seluruh kaum di Madinah, walau tanpa menggunakan wang yang kononnya menjadi penggerak utama(di masa kini).. Kita dapat lihat disini, formulasi mewujudkan uniti atau menyatukan pelbagai kaum menjadi “SATU” bangsa (seperti konsep 1 Malaysia) telah lama wujud dan Rasulullah adalah PERINTIS dan orang yang pertama memikirkan konsep penyatuan bangsa ini.. Merujuk kepada situasi zaman sekarang, dalam mana-mana keadaan sekalipun, semua isi perlembagaan tidak muktamad dalam ertikata ia mestilah disesuaikan dengan peredaran zaman, kerana kita lihat, sekarang kita sedang mengaplikasikan konsep yang telah dianjurkan oleh Rasulullah beberapa kurun yang lepas…

Prinsip² utama dalam mentadbir masyarakat Islam memang telah di eloborasi, seperti prinsip-prinsip keadilan, persaudaraan dan kesatuan di kalangan Muslimin, kesatuan dan kerjasama di kalangan warga-warga negara, kebebasan beragama, keteguhan dalam menggengam kontrak di antara parti-parti, kerjasama dalam melakukan kebaikan dan mencegah kejahatan, galakan terhadap tatasusila yang tinggi, musyawarah sebagai kaedah pemerintahan. Yang menariknya, apa yang dipanggil “hukum Hudud”, sebagai sebahagian daripada Undang-undang Islam, tidak sekalipun tertulis dalam dokumen ini, namun Rasulullah mampu sehingga kini menyampaikan perihal hukum hakam Islam itu sendiri…

Konklusinya, di zaman moden ini sekalipun, manusia tidak boleh mengabaikan suatu kuasa yang lebih hebat daripada dirinya… Manusia mempunyai hak autonomi untuk hidup, dan untuk hidup bahagia, tetapi dia harus melakukannya dalam dunia yang diciptakan dengan “undang-undangnya” sekali… Dalam ertikata inilah, Piagam Madinah diberikan atas nama Muhammad seorang Rasul, yang mewakili prinsip kebaikan, dan prinsip penaakulan yang benar, yang lebih tinggi kedudukannya daripada seorang individu lain…. Begitu juga dengan nama Allah yang diletakkan di hadapan, kerana Allah adalah Kebaikan yang Maha Tinggi dan prinsip tertinggi penaakulan yang benar… Ini perlu untuk mengangkat manusia ke tingkatan pencapaian yang lebih tinggi, bahkan lebih maju lagi…


RAMADHAN AL-MUBARAK, SUATU PENANTIAN…

al-qadr

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…

(1) Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar

(2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

(3) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan

(4) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang    berikut)…

(5) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar..!


“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur…”  (al-Baqarah, ayat 185)

Maha Agung Allah, tuhan yang mencipta sekalian alam, dia yang Maha Pemurah lagi Mengasihi hamba²Nya… Bersyukur kita ke hadratNya, kerana dengan limpahan kasih sayangNya kita masih dilanjutkan usia untuk bertemu Ramadhan sekali lagi… Maafkan saya, mungkin ada diantara kita atau saudara kita yang tidak berkesempatan bersama² menanti kunjungan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, sesungguhnya Allah lebih menyayangi mereka… Al-Fatihah…

Sebenarnya, kita benar² beruntung kerana masih diberi kesempatan olehNya untuk bersua dengan Ramadhan sekali lagi, dan dengan kesempatan ini kita seharusnya benar² menghargai kasih sayangNya, mensyukuri nikmat serta anugerahNya, kerana kita tidak pasti sama ada masih berkesempatan bertemu Ramadhan akan datang… Janganlah kita termasuk dalam golongan yang sombong, yang mengkufuri nikmat Allah serta tidak mensyukuri kurnianNya; mensia-siakan kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini…

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui…. (al-Baqarah, ayat 184)

Banyak cara untuk kita tunjukkan rasa kesyukuran terhadap nikmat² Allah ini, terutama sekali didalam bulan Ramadhan… Ramadhan bukan sekadar dengan  hanya kita berpuasa, tapi banyak amalan² lain (yang disunnatkan) boleh kita lakukan, dan pastinya amalan yang kita lakukan semasa Ramadhan ini akan diberi balasan berlipat kali ganda olehNya…

Fikirkan sejenak… Kenapa telah diwajibkan membayar zakat fitrah itu pada bulan Ramadhan? Mengapa sunnat tarawikh hanya pada malam² dibulan Ramadhan? Mengapa puasa (sebulan) hanya diwajibkan dalam Ramadhan? Dan mengapa Allah menyingkap tirai langit, membuka pintu syurga, menutup pintu neraka serta merantai Iblis semasa bulan Ramadhan? Semua kerana kasih sayang Allah kpd kita, menyeru kita menghargai dan mengambil kesempatan semasa Ramadhan, ‘mengajak’ kita untuk melipat-gandakan amalan semasa Ramadhan, tanpa “gangguan” Iblis yg seringkali membantutkan niat kita untuk mengerjakan amalan… Begitu pemurah serta mudahnya konsep “mengambil kesempatan” berbuat amal kebajikan yang Allah mahu setiap dari kita melihat, memahami serta menghargai “PELUANG” sekali dalam setahun ini… Konsepnya mudah, kita ambil contoh ini… Pekerja KFC yang bekerja semasa cuti perayaan akan dapat double pay, klu ambil over-time pd masa yg sama akan dapat bonus lebih, klu rajin menolong di kitchen & rajin lap cermin dan mop lantai, boleh naik pangkat… Begitulah maksud yang tersirat dan tidak terlihat melalui pandangan mata kasar kita… Cuba kalau balasan atau pahala amalan tu Allah kurniakan dalam bentuk seguni emas yg kita semua dpt lihat, saya cukup yakin orang berebut-rebut mengerjakan ibadah, masjid sentiasa penuh tidak cukup ruang, kerana masing² mengejar “emas” tadi….

Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab Neraka…. (Saad, ayat 27)

Saya sekadar ingin berkongsi pandangan saya, sekadar renungan buat diri saya sendiri serta sahabat pembaca… Apapun, hanya Allah yang dapat menilai amalan kita kerana Dialah yang Maha Mengetahui… Segala yang baik itu datangnya dari Allah Ar-Rahim, yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri… Assalamu’alaikum…


ISLAM: Konsep, Mindset / Akal, Sedekah & Dadah…

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…

Kita seringkali berhadapan dengan pelbagai situasi dimana kita melihat suatu “subjek”, yang seterusnya diterjemahkan oleh (kewarasan) akal yang akhirnya mendorong kepada suatu tindakan yang berasaskan niat atau nawaitu… Kita seringkali  terus menelan bulat-bulat dgn apa yang kita lihat , baca, ataupun dengar dan terkadang setengah dari kita terus memberi tanggapan atau impresi terhadap apa yang dibaca, dengar atau lihat, namun belum pasti adakah suatu yang kita luahkan itu adalah “hasil” yang benar² sahih atau sebaliknya, ataupun adakah ianya suatu yg benar mengikut kefahaman yang sepatutnya…. Memang benar kita semua mempunyai akal yang waras, jika tidak adalah mustahil bagi kita untuk membaca tulisan ini, namun kewarasan akal kita sering dibayangi rasional pemikiran serta “MIND-SETTING” yang telah lama munghuni kotak minda kita…

“Pelajarilah Ilmu, kerana mempelajarinya (kerana) Allah adalah kifayah, menuntutnya adalah Ibadah, mempelajarinya adalah Tasbih, mencarinya adalah Jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahui adalah Sedekah, menyerahkan kepada ahlinya adalah Taqarrub. Ilmu adalah teman dekat dalam kesendirian dan sahabat dalam kesunyian.” (Muadz bin Jabal)

Jika kita menyebut tentang Islam, sudah tentu ramai yang boleh membvahaskan mengenai agama murni kita ini… Namun pemahaman konsep serta ceteknya & sempitnya pemikiran kita dalam melihat prespektif agama ini seringkali disalah tafsir, dan ini jika diteliti dengan mendalam membuka ruang bagi Ahlul Bid’ah dan golongan Musyrik a.k.a penentang Islam untuk mempersendakan kita, mempersoalkan agama kita seterusnya mengambil kesempatan untuk menghancurkan kita… Saya ingin sekali membawa pembaca untuk berfikir serta membuka minda seketika, dalam memahami dengan sebenar apa yang di anjurkan oleh Islam, ajaran agama yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi utusan Allah Yang Maha Esa, tuhan sekalian alam yang tidak diperanakkan atau memperanakkan, seperti maksud surah Al-Ikhlas;

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa”;

“Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat”;

“Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan”;

“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

Namun, tanpa kita sedari masih ramai lagi yang melakukan “syirik” (walau dengan maksud tanpa niat), memohon atau mengharap kepada suatu yang lain selain Allah… Adakah kerana mungkin kita terlalu mengikut adat, atau memang nawaitu kita menjurus ke sana…  Ambil contoh senario terkini; bila hampir tiba bulan Ramadhan al-Mubarak… Ramai antara kita yang membuat kenduri kesyukuran secara besar²an (ada yang hingga memberi kesulitan kpd keluarga si arwah yang masih hidup) sehingga ada yg sanggup bergadai, mengadakan majlis tahlil serta “Kenduri Arwah”… Tapi cuba kita singkap lebih jauh lagi, ada antara kita yang membuat kenduri arwah dengan menjamu makanan kepada tetamu, kononnya bertujuan memberi makan kepada si mati atau arwah yang dimaksudkan… disini kita lihat kita telah lari dari konsep sebenar, atau tidak memahami maksud majlis tahlil yang diadakan tersebut…. Sebenarnya masih ramai yang masih kurang jelas dan faham ttg konsep tahlil ini… Majlis Tahlil sebenarnya memadai sekadar membaca tahlil, doa² serta amalan yang disunatkan semasa majlis tersebut, termasuklah dengan menjamu tetamu yang ada dengan hidangan yang tidak membebankan serta menyusahkan ahli keluarga yang masih hidup… Tujuan menjamu tetamu tersebut sebenarnya bukanlah untuk memberi makan kepada arwah atau si mati, yang sebetulnya adalah niat pahala sedekah memberi makanan kepada orang itu ditujukan atau dihadiahkan kepada si mati, kerana hanya 3 perkara (amalan) yang menjadi perantara bagi si mati;

1) Ilmu yang disampaikan oleh si mati sebelum wafat, selagi mana ia terus disebarkan dan diamal oleh orang yang masih hidup, selagi itulah pahalanya akan terus sampai kepada si mati;

2) Sedekah yang berpanjangan, selagi mana hasil dari sedekah itu diguna untuk kemasylahatan ummah, selagi itu pahala akan terus sampai kepada si mati (contohnya mendirikan masjid atau sekolah, atau sejadah @ Al-Quran yang diwakafkan / sedekah di masjid atau sekolah)

3) Doa & amalan dari anak yang soleh, seorang anak (kepada simati) yang sering menghadiahkan (pahala) amalannya serta doanya kepada arwah (orang tua / keluarga) yang telah wafat…

Kita harus sedar setiap perkara yang kita lakukan didunia hatta sebesar hama sekalipun akan dinilai Allah baik buruknya perlakuan kita tersebut…

“Kata-kata yang baik itu adalah sedekah” (Hadis Nabi)

Berkisar tentang konsep pemahaman, kita seringkali terus menelan apa yang kita lihat dan adaptasikan, tanpa menilai atau memahami benar² konsep tersebut… Ada suatu ketika semasa saya melintasi masjid Negeri Sabah, saya terhenti dan terfikir sejenak apabila melihat satu papan tanda @ signboard di luar pagar masjid tersebut… Pengamatan saya terhadap papan tanda tersebut mengajak utk berfikir serta memahami konsep yang disampaikan; DADAH ADALAH HARAM DISISI ISLAM… Bukan hendak membidas atau menidakkan apa yang cuba disampaikan pihak berkenaan, namun bagi mereka yang kurang faham akan terus mengiakan atau menelan bulat² perkara tersebut tanpa menilai atau memahami konsep yang sebenarnya… Kerana dari pandangan saya dan konsep Islam yang sebenarnya, dadah TIDAK HARAM, dan saya yakin  semua kita pernah “mengambil” dadah…. yang HARAM adalah PENYALAHGUNAAN DADAH… Saya percaya, sejak dari lahir lagi kita telah mendampingi dadah, tapi untuk tujuan perubatan… Ubat²an yang kita terima & beli dari klinik atau hospital sebenarnya adalah dadah, tapi untuk tujuan kebaikan iaitu perubatan, dan itu yang diharuskan oleh agama kita, mendalami ilmuperubatan serta menggunakan utk tujuan kemasylahatan ummah, bukan sebaliknya… Kita tahu orang yang menjalani pembedahan akan disuntik dgn beberapa miligram “Morfin”, sedangkan morfin itu dadah… Namun, bagi yang mengambil “Morfin” pada dosage yang tidak sepatutnya untuk tujuan yang tidak sepatutnya, itu barulah HARAM DISISI ISLAM, kerana yang sebenarnya penyalahgunaan dadah adalah haram disisi Islam… Pihak yang berkenaan patut peka mengenai perkara ini, jangan sampai kaum munafik dan musyrik mengambil kesempatan serta memutar-belit atau mengguna pakai perkara² remeh seperti ini untuk menghancurkan umat Islam… Dadah yang sebenar-benar dadah adalah kecanduan terhadap dunia dan wang, kerana keasyikan kita mengejar dunia dan wang inilah yang banyak menghancurkan umat Islam dan serta memecah-belahkan kita…. Renungi maksud saya…

Ini hanyalah ungkapan atau sedikit contoh yang dapat saya cernakan mengenai konsep pemahaman serta mendalami ajaran & Ilmu Islam itu sendiri, dengan harapan agar kita sama² dapat membuka dan menggerakkan minda kita dalam sama² memperjuangkan serta membangunkan ISLAM, ketepikanlah persengketaan kita serta dunia utk seketika, dan fokuskanlah pada perjuangan dan pembangunan ISLAM serta anak bangsa kita…

Kita bukan bertemu dengan orang yg salah, tetapi kita hakikatnya diberikan oleh Allah ilmu berharga yg tidak semua orang boleh merasakannya…. Oleh itu bersyukur dan selalu bersangka baik kpd Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi hamba²Nya…

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah , ayat 216)

Sekadar renungan buat sahabat pembaca serta diri saya sendiri…. Yang baik datangnya dari Allah Ar-Rasyid, yang buruk datangnya dari kelemahan diri saya sendiri…. Salam Ramadhan…

SEKADAR RENUNGAN: WADAH BUAT PEMIMPIN² DAN WAIBEE Pee94X2….

Dengan nama Allah, Yang  Maha Pemurah, Yang Maha Pengasih…

1. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendahului di hadapan Allah dan rasul-Nya; dan takutilah Allah. Sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui.

2. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah menaikkan suara-suara kamu di atas suara Nabi, dan jangan kamu melantangkan ucapan kamu kepada dia, seperti kelantangan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain, supaya tidak menjadi sia-sia amalan-amalan kamu, sedang kamu tidak menyedari.

3. Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suara mereka di sisi rasul Allah, mereka itulah orang-orang yang hatinya Allah uji untuk takwa (takut kepada Tuhan); bagi mereka, keampunan dan upah yang besar.

4. Sesungguhnya orang-orang yang memanggil kamu dari belakang bilik-bilik, kebanyakan mereka tidak faham.

5. Dan jika mereka bersabar, sehingga kamu keluar kepada mereka, itulah yang lebih baik bagi mereka; dan Allah Pengampun, Pengasih.

6. Wahai orang-orang yang percaya, jika orang fasiq datang kepada kamu dengan satu berita, maka telitilah supaya kamu tidak menimpa satu kaum dalam kejahilan, dan kemudian menjadi menyesal daripada apa yang kamu buat.

7. Dan ketahuilah bahawa rasul Allah adalah di kalangan kamu. Jika dia mentaati kamu dalam kebanyakan urusan, kamu akan menderita; tetapi Allah menjadikan cinta pada keimanan kepada kamu, menampakkannya indah di dalam hati kamu, dan Dia menjadikan kamu benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), dan kefasiqan, dan keingkaran. Mereka itu, merekalah yang berfikiran waras.

8. Pemberian Allah, dan rahmat; Allah Mengetahui, Bijaksana.

9. Jika dua golongan orang-orang mukmin bergaduh, betulkanlah antara mereka; kemudian, jika satu daripada mereka angkuh terhadap yang lain, perangilah yang angkuh, sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika ia kembali maka betulkanlah antara mereka dengan adil, dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil.

10. Sesungguhnya orang-orang mukmin bersaudara; maka betulkanlah antara dua saudara kamu, dan takutilah Allah supaya kamu dikasihani.

11. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah sesuatu kaum mengejek kaum yang lain, yang mungkin lebih baik daripada mereka; dan jangan juga perempuan-perempuan memperolok-olokkan perempuan-perempuan yang mungkin lebih baik daripada mereka. Dan jangan mencari kesilapan sesama sendiri, dan jangan juga menghina satu sama lain dengan nama-nama gelaran. Satu nama yang buruk ialah fasiq setelah iman. Dan sesiapa tidak bertaubat, maka mereka itu, merekalah orang-orang yang zalim.

12. Wahai orang-orang yang percaya, jauhilah kebanyakan sangkaan; sebahagian sangkaan adalah dosa. Dan janganlah mengintip, dan jangan juga mengumpat satu sama lain; adakah salah seorang antara kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Kamu membencinya! Dan kamu takutilah Allah; sesungguhnya Allah Menerima Taubat, Pengasih.

13. Wahai manusia, Kami mencipta kamu lelaki dan perempuan, dan membuat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari.

14. Orang-orang Arab berkata, “Kami percaya.” Katakanlah, “Kamu tidak mempercayai; tetapi katakanlah, ‘Kami tunduk patuh’; kerana iman belum lagi masuk ke dalam hati kamu. Jika kamu mentaati Allah dan rasul-Nya, Dia tidak akan menyusutkan kamu sedikit pun daripada amalan-amalan kamu. Sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.”

15. Orang-orang yang mukmin ialah orang-orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian tidak ragu-ragu, dan berjuang dengan harta mereka dan jiwa mereka di jalan Allah; mereka itu, merekalah orang-orang yang benar.

16. Katakanlah, “Apa, adakah kamu akan mengajar Allah mengenai agama kamu, padahal Allah mengetahui apa yang di langit, dan apa yang di bumi? Dan Allah mengetahui segala sesuatu.”

17. Mereka mengiranya sebagai satu budi baik kepada kamu bahawa mereka telah tunduk patuh! Katakanlah, “Janganlah kamu mengira bahawa keislaman kamu adalah sebagai satu budi baik kepadaku; tidak, tetapi Allah berbudi baik kepada kamu, dengan Dia memberi kamu petunjuk pada keimanan, jika sekiranya kamu orang-orang yang benar.

18. Sesungguhnya Allah mengetahui keghaiban di langit dan bumi; dan Allah melihat apa yang kamu buat.

al-hujurat

 

……… setiap yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang buruk itu dattangnya dari kelemahan saya sendiri… Maha Suci Allah…

Sunnatullah: Manusia & Haiwan…

Empat lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan di negara ini, menjadikan jumlah korban keseluruhan virus itu meningkat kepada 13 orang (Berita Harian / 6 Ogos)… Angka kematian semakin meningkat saban hari. Namun itulah sebahagian dari aturan alam yang telah tersurat, seperti juga siang berganti malam, bumi mengelilingi matahari, rumput berwarna hijau; ’sunnatullah’ yang telah ditentukan dan dicipta oleh Al-Khaliq, Allah yang Maha Pencipta… Namun itu hanyalah sebahagian dari sifat² alam dan kehidupan yang ada dihadapan mata, secara sedar ataupun tidak… Sudah terang lagikan bersuluh, tapi adakah kita pernah terfikir tentang sifat² alam dan kesinambungannya dalam sifat semulajadi kita dan senario semasa? Jika kita dalami ‘Sunnatullah’ antara akal dan mulut, Al-Khaliq mencipta serta mengurniakan akal untuk berfikir dan mulut untuk mengunyah manakala kesinambungan antara akal dan mulut menghasilkan percakapan; membezakan antara manusia dan haiwan… Al-Khaliq mengurniakan hanya mulut untuk haiwan tapi manusia dikurniakan kedua-dua akal dan mulut… Haiwan tidak mampu untuk bercakap, kerana ‘keistimewaan’ itu telah diberikan kepada kita. Dengan keistimewaan inilah tamadun manusia tercipta, dan dengan keistimewaan itu jugalah manusia membinasakan tamadun. Ideologi² serta pelbagai doktrin tercetus dari akal seterusnya diterjemahkan melalui percakapan yang menggerakkan tindakan. Dari titik tolak inilah menjadikan manusia gah, membawa revolusi dalam peradaban manusia serta membentuk dan menubuhkan kerajaan dunia dengan hanya “menjual” air liur… Dengan keistimewaan ini jugalah manusia mampu bersaing, menjadi “Orang Besar’, mencipta politik dan ahli²nya, menjatuhkan ataupun dijatuhkan, dan mempengaruhi akal yang lain. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa lidah itu lebih tajam dari mata pedang. Kerana itulah akal dikurniakan kepada kita untuk menjadikan kita rasional dan tahu mengawal lidah (percakapan; terdapat sebilangan besar dari kita tidak amanah dengan keistimewaan tersebut, menyalahgunakannya sama ada sedar atau tidak apabila sudah berada ‘diatas’.. Orang Besar mula bongkak dan mendabik dada, saling bercakaran dan memburukkan orang sebelah, “plot-tikus²” mula lupa diri serta asal-usul dan hanya tahu cakap sahaja, pandai berak tapi tak pandai basuh.. Mereka² ini telah lalai dengan keistimewaan ini, bangga diri dan cakap besar, ibarat mahu memerintah gunung dan laut kesemuanya. Hanya sedikit ujian nikmat dari Allah; dengan lidah bercabang mereka² ini yang penuh bangga dan taksub yang baru sahaja menjadi pemimpin tidak diiktiraf dalam kampung lot P-Salim, Orang² Besar serta Plot-Tikus² ini seakan-akan lupa diri, hanyut dengan kebanggaan mewarisi sifat Iblis Laknattullah yang menjanjikan “persahabatan-api- abadi”, menjadikan diri mereka sebahagian dari “Finnari Jahannam”, hanya kerana kealpaan memiliki sedikit keistimewaan kurniaan Ar-Rahman… Sifat² yang ditonjolkan oleh mereka² inilah yang menjatuhkan martabat kita sebagai umat manusia bertamadun amnya serta penduduk kampung lot P-Salim, amat memalukan disebabkan perilaku dan pe’el mereka seakan-akan tiada beza antara manusia dan haiwan,tidak menggunakan akal untuk bertindak sebaliknya mulut dan lidah menjadi kemudi… Sekiranya sang haiwan juga diberikan akal serta mampu untuk berkata-kata, mereka² ini akan tunduk menatap bumi dan malu dengan sang haiwan kerana kerana persamaan sifat mereka di samai dan disaingi sang haiwan… Jangan hanya “inter-frame” atau berlagak baik serta sempurna di depan lensa kamera ataupun dihadapan penduduk kampung lot P-Salim walhal hakikatnya adalah hipokrit semata-mata dan sekadar mendapat publisiti serta dianggap mulia dan mendapat tempat dalam kelab Un-no… Adakah ini juga sebahagian dari aturan alam? Hanya kita yang mampu menilai dengan keistimewaan akal kurniaan Ar-Rashid… Sesungguhnya Allah maha bijaksana dan  mengetahui setiap apa yang ada di langit dan dibumi….. Allah membenci mereka yang sombong dan bongkak serta mencela mereka yang tidak menjaga amanah… nilai sesorang itu bukan diletakkan pada harta, kedudukan atau pangkat, tapi pd keimanan serta kedudukan di sisi Ar-Rahim… Sedarlah dari lena…..